Kandungan palsu Agong, Majlis Raja-Raja: Individu gagal hadir mahkamah ditahan

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang individu selepas gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan atas kesalahan memuat naik kandungan palsu melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Komunikasi Korporat SKMM dalam satu kenyataan berkata, suspek yang kini dalam tahanan PDRM akan dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen Sepang dalam masa terdekat.
“Tangkapan ke atas suspek pada jam 11 malam tadi dilaksanakan oleh SKMM dengan kerjasama PDRM di Kuala Lumpur, sejurus waran tangkap dikeluarkan oleh hakim mahkamah berkenaan.
“Individu tersebut gagal hadir ke sebutan kes yang ditetapkan di mahkamah tersebut pada 24 Februari lalu,” katanya pada Selasa.
Menurut kenyataan berkenaan, kesalahan itu dibuat menerusi hantaran di laman aplikasi Facebook milik individu tersebut.
“Dia akan didakwa di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

