Warga emas usia 69 tahun nekad berbasikal ke Makkah

Seorang lelaki warga emas menarik perhatian ramai apabila nekad berbasikal ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji. Foto Agensi
Seorang lelaki warga emas menarik perhatian ramai apabila nekad berbasikal ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji. Foto Agensi
A
A
A

INDRAMAYU - Seorang lelaki warga emas dari Indramayu, Indonesia, menarik perhatian ramai apabila nekad berbasikal ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji.

TribunJabar melaporkan, lelaki yang dikenali Katori, 69, itu dijadualkan memulakan kayuhan pertama dengan basikal klasik itu selepas dia menaiki kapal dari Pelabuhan Tanjung Priok ke Batam, sebelum meneruskan perjalanan darat ke negara-negara yang akan dilalui menuju ke Tanah Suci.

Sebelum itu, dia diraikan dalam satu majlis di rumahnya pada Khamis lalu sebelum dia menjalankan misinya.

Menurut Ketua Kecamatan Juntinyuat, Rusyad Nurdin, timbul sedikit kebimbangan mengenai hasrat lelaki itu disebabkan faktor umur, namun pihak mereka tidak menghalangnya kerana faham hasrat suci lelaki tersebut.

"Kami bimbang jika berlaku sesuatu di sepanjang perjalanan. Jadi, kami telah meminta keluarganya untuk sentiasa mengemas kini lokasi dan keadaannya kepada pihak berkuasa," ujar Rusyad.

Selain dipantau perjalanannya, Katori juga akan dibantu oleh pihak berkuasa tempatan yang lain bagi memudahkan perjalanannya ke Tanah Suci.

Difahamkan semua urusan perjalanan Katori sudah lengkap termasuk visa ke Arab Saudi dan dia akan mula berkayuh selepas tiba di Batam. -Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!