Dakwaan pemerasan, tiga anggota polis dirakam keterangan

Laporan Sinar Harian berhubung video tular anggota semasa Ops Tapis, PDRM lakukan siasatan penuh. Gambar kecil: Shahrulnizam
Laporan Sinar Harian berhubung video tular anggota semasa Ops Tapis, PDRM lakukan siasatan penuh. Gambar kecil: Shahrulnizam
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai tiga anggota polis telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membuat serbuan tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta melakukan pemerasan ketika Ops Tapis, di Damansara, di sini, tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya telah mengambil keterangan tiga anggota yang terlibat dalam serbuan itu.

“Kita membuka siasatan di bawah tatatertib. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada 19 Februari lalu, media melaporkan polis menyiasat berhubung dakwaan itu.

Shahrulnizam dilaporkan berkata, pihaknya mengesan satu kenyataan dan video tular melalui aplikasi media sosial Facebook pada jam 1 tengah hari.

Kandungan tersebut dimuat naik oleh pemilik akaun memaparkan video serbuan dilakukan oleh empat anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Polis mengesahkan serbuan itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Petaling Jaya di Pelangi Damansara.

Kejadian video tular itu berlaku pada 10 Oktober 2024 ketika polis melakukan Ops Tapis.

Sebelum ini, tular kenyataan oleh pemilik akaun Facebook mendakwa diperas ugut empat anggota polis yang datang ke kediamannya dan bertindak memecahkan kamera litar tertutup serta melakukan pemerasan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!