Peluang Haaland diturunkan 50-50

PENYANDANG juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City akan menerima kunjungan pendahulu, Liverpool pada tengah malam ini dengan misi mencari kemenangan yang boleh menghidupkan semula musim mereka.
Namun, City mungkin beraksi tanpa pemain paling penting mereka iaitu Erling Haaland.
Haaland yang mengalami kecederaan lutut pada penghujung perlawanan dalam kemenangan 4-0 ke atas Newcastle United minggu lalu, sudah pun diketepikan ketika City tewas 3-1 dalam aksi playoff kedua Liga Juara-Juara menentang Real Madrid baru-baru ini.
Pun begitu, Pep Guardiola tidak menolak sepenuhnya kemungkinan penyerang Norway itu sempat pulih.
“Adalah lebih baik jika Erling berada di atas padang dan sudah tentu kami berharap dia mampu cergas sepenuhnya untuk aksi menentang Liverpool,” ujar pengendali dari Sepanyol itu.
City yang mengumpul 44 mata untuk berada di tangga keempat memerlukan kebangkitan ajaib untuk mengejar Liverpool yang berkelebihan 17 mata di puncak EPL.
Pun begitu, tidak mustahil bagi City merapatkan jurang kerana kemenangan di Etihad tengah malam ini akan mengurangkan jurang kepada 14 mata dan memastikan The Citizens mempunyai lebih satu perlawanan dalam tangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

