SKDS: Jualan diesel di stesen minyak mini merosot sehingga 50 peratus

PUTRAJAYA - Sejumlah 230 pengusaha stesen minyak mini di seluruh negara menyuarakan kebimbangan terhadap impak sistem Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) sekiranya subsidi petrol turut ditarik kelak.
Setiausaha Kehormat Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), Hanny Julia Haron berkata, ketidaktentuan masa depan turut mengancam stesen minyak mini terbabit.
"Sejak pelaksanaan SKDS, jualan diesel di stesen minyak mini telah merosot sehingga 50 peratus sekali gus memberi tekanan besar kepada perniagaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujar beliau, stesen minyak mini tidak mempunyai sistem automasi canggih selain penggunaan pam minyak lama.
"Ahli kami menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan mekanisme subsidi bersasar yang diperkenalkan," jelas Hanny.
Menurutnya, apa yang lebih membimbangkan, sehingga kini tiada perbincangan rasmi dengan pihak berwajib mengenai pelaksanaan subsidi petrol bersasar.
"Stesen minyak mini majoritinya terletak di kawasan pedalaman dan kampung, di mana akses kepada stesen minyak jenama besar adalah terhad iaitu berjarak antara 10 hingga 40KM dari kawasan penempatan penduduk.
"Jika subsidi petrol dikawal tanpa strategi yang jelas, penduduk luar bandar akan terjejas kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada stesen minyak mini untuk keperluan harian," katanya.
Sehubungan itu, Bumipeda menuntut kerajaan dan agensi berkaitan mengadakan sesi dialog dan rundingan dengan pengusaha stesen minyak mini bagi membincangkan penyelesaian terbaik dalam pelaksanaan subsidi bersasar.
Turut dituntut, agar kerajaan menyediakan bantuan sistem dan teknologi supaya stesen minyak mini dapat memenuhi syarat subsidi tanpa membebankan pengusaha kecil.
Kerajaan juga perlu memastikan keadilan dalam agihan subsidi, khususnya untuk penduduk luar bandar yang layak, dengan mempertimbangkan faktor lokasi dan kepentingan stesen minyak mini kepada komuniti setempat.
"Kami berharap pihak berwajib akan memberi perhatian serius kepada isu ini agar stesen minyak mini tidak terpinggir dalam arus perubahan sistem subsidi.
"Kami sedia untuk bekerjasama dalam memastikan 90 peratus penduduk luar bandar yang layak menerima subsidi tidak terjejas, demi kesejahteraan masyarakat luar bandar dan kestabilan industri peruncitan minyak tempatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

