NASA kurangkan risiko impak Asteroid 2024 YR4 kepada 0.28 peratus

LOS ANGELES - NASA mengurangkan lagi kemungkinan impak daripada Asteroid 2024 YR4 ke Bumi pada 22 Disember 2032, kepada 0.28 peratus, menurut jangkaan terbaru NASA pada Khamis.
Pasukan pertahanan planet NASA akan terus memantau asteroid itu untuk meningkatkan ramalan trajektori asteroid, kata NASA seperti yang dilaporkan oleh Xinhua.
Dengan data baharu ini, kemungkinan impak dengan bulan meningkat sedikit kepada satu peratus, menurut NASA.
Asteroid 2024 YR4 dianggarkan berukuran kira-kira 40 hingga 90 meter. Ia pertama kali dilaporkan oleh Sistem Amaran Terakhir Impak Terrestrial Asteroid (ATLAS) yang dibiayai oleh NASA di Chile pada 27 Januari 2024.
Kerosakan yang disebabkan oleh asteroid yang memberi impak sangat bergantung pada saiz dan komposisi tepat asteroid itu, menurut NASA.
Saiz sebenar 2024 YR4 masih belum pasti, namun letusan udara adalah senario yang mungkin untuk julat saiznya.
Jika asteroid itu memasuki atmosfera di atas lautan, model menunjukkan objek yang meletus di udara dengan saiz ini tidak mungkin menyebabkan tsunami yang signifikan, sama ada dari tengah lautan atau bahkan lebih dekat dengan pantai, menurut NASA. - Bernama-Xinhuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
