GrabFood 5-Star Awards 2024 rai 148 restoran terbaik

SHAH ALAM - GrabFood Malaysia meraikan 148 restoran terbaik dalam GrabFood 5-Star Awards 2024, selain turut memperkenalkan kategori baru Trending Dine-Out Restaurant sebagai usaha menyokong perniagaan di premis fizikal.
Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia, Jiong Jian Tan berkata, ia merupakan komitmen syarikat dalam membantu perniagaan makanan untuk berkembang maju melalui inovasi teknologi, pandangan industri yang bernilai serta mewujudkan permintaan.

“GrabFood 5-Star Awards merupakan pengiktirafan kami terhadap pencapaian cemerlang rakan niaga.
“Untuk makluman, pada 2024 rakan niaga GrabFood secara kolektif telah meraih pendapatan melebihi RM3 bilion dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencatat pertumbuhan pendapatan sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Ini membuktikan keberkesanan platform digital dalam memacu pertumbuhan lestari perniagaan tempatan,” katanya pada majlis GrabFood 5-Star Awards 2024 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Menerusi GrabFood 5-Star Awards 2024 hampir 20,000 undian dan sokongan diterima daripada rakyat Malaysia bagi membolehkan restoran yang tercalon turut merangkul anugerah mengikut kategori seperti Budget-Friendly Favourites, Rising Stars dan Best of the Best.
Sementara itu, penerima anugerah Best of the Best, GrabFood 5-Star Awards 2024, Datuk Seri Mohd Shamil Ngoh Abdullah berkata, kejayaan dirai selama tiga tahun berturut-turut merupakan hasil usaha keras secara konsisten dalam mengekalkan kualiti setiap hidangan.

Pemilik Village Park Restaurant itu percaya, penjagaan kualiti makanan yang terbaik akan mendorong lebih ramai pelanggan untuk terus menyokong sesebuah perniagaan.
“Demi menjaga kualiti makanan saya sendiri yang masak walaupun ada pekerja dan mereka juga ditegaskan untuk sama-sama menitik-beratkan standard ditetapkan.
“Ini untuk memastikan sesuatu perniagaan dapat bertahan lama dan paling utama pelanggan terus datang makan di restoran kami,” katanya.
Bagi penerima anugerah sama, Samsir Ramling berkongsi rasa syukur dan bangga atas pencapaian gemilang yang diraihnya.
Pemilik restoran Grill Fish di Sabah itu berkata, pengiktirafan ini menjadi pendorong utama untuk terus meningkatkan perniagaannya dengan memperluaskan operasi ke kawasan lebih besar dan strategik demi keselesaan pelanggan.
“Sama seperti perniagaan makanan lain, saya juga bermula dari bawah dan mula terlibat dengan GrabFood sekitar lima tahun lalu.
“Setakat ini, restoran hanya ada satu cawangan sahaja di Sabah dan insya-ALLAH, saya merancang untuk membuka cawangan baru di Semenanjung pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Grab Malaysia turut memeterai memorandum kerjasama (MoU) bersama Tourism Malaysia bagi melonjakkan sektor pelancongan makanan negara sambil membuka peluang baharu kepada pengusaha makanan tempatan.
Perkongsian strategik ini dijangka akan membuka lembaran baharu untuk pertumbuhan perniagaan makanan tempatan sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi kulinari bertaraf dunia.
Penampilan restoran 5-stars daripada pelbagai negeri sebagai tarikan gastro-pelancongan, Grab memudahkan pelancong untuk menerokai dan menikmati warisan kulinari Malaysia yang kaya serta pelbagai.
Corak batik pada GrabFood 5-Star Awards pula direka dan diinspirasikan oleh pelukis terkenal, Arif Rafhan Othman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
