Delegasi AS, Rusia bertemu di Arab Saudi bincang perang Ukraine

WASHINGTON - Delegasi peringkat tinggi dari Amerika Syarikat (AS) dan Rusia dijadual bertemu di Arab Saudi pada Selasa bagi membincangkan usaha menamatkan perang di Ukraine.
Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov dan penasihat dasar luar kepada Presiden Vladimir Putin, Yuri Ushakov, tiba di Riyadh pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam pertemuan itu, AS akan diwakili oleh Setiausaha Negara, Marco Rubio, Penasihat Keselamatan Negara, Mike Waltz dan Duta Khas ke Timur Tengah, Steve Witkoff.
Mesyuarat itu diadakan selepas Presiden AS, Donald Trump menghubungi Putin dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy secara berasingan minggu lalu dalam usaha mencapai penyelesaian bagi perang yang berlarutan sejak tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, Ukraine tidak dijemput menyertai rundingan berkenaan.
Zelenskyy sebelum ini menegaskan bahawa Kyiv "tidak akan pernah menerima" sebarang perjanjian yang dibuat tanpa penyertaan Ukraine.
Pada hari yang sama, Zelenskyy dijadual bertemu rakan sejawatnya dari Turkiye, Recep Tayyip Erdogan,di Ankara untuk membincangkan hubungan dua hala, perkembangan terkini di Ukraine serta isu serantau dan global.
Pada Persidangan Keselamatan Munich, Keith Kellogg, utusan khas Trump bagi Rusia dan Ukraine mengesahkan bahawa negara-negara Eropah tidak dijemput menyertai rundingan damai AS-Rusia yang dirancang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
