Lelaki dituduh bunuh peniaga

Tertuduh dikawal keluar selepas selesai sebutan kesnya di Mahkamah Majistret Kuantan pada Isnin.
Tertuduh dikawal keluar selepas selesai sebutan kesnya di Mahkamah Majistret Kuantan pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan membunuh peniaga penyaman udara dalam kejadian 13 Januari lalu.

Tertuduh, Lai Pui Hung, 30, mengaku faham terhadap pertuduhan dikemukakan namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Luqman Hakim Mohamad Usari di hadapan Majistret Ellyana Othman, tertuduh didakwa membunuh Yee Yong Hock, 38.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis kedai di Tingkat Bawah, Blok A Pangsapuri Taman Aman, Lorong Bukit Sekilau 22, Bukit Sekilau di sini antara jam 3 hingga 4 petang, 13 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak kurang 12 kali sebatan.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh memandangkan kes tersebut tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan 24 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penemuan mayat mangsa berusia 38 tahun dalam premis kedai yang disewa selepas polis menerima laporan daripada ibu mangsa.

Artikel Berkaitan:

Susulan maklumat itu, sepasukan anggota polis termasuk dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang ke lokasi untuk siasatan dan mendapati kematian lelaki itu wujud unsur jenayah.

Bertindak atas siasatan awal, polis berjaya menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!