PDRM tekad bangkit di Selayang

Tonggak PDRM, Muhammad Fakhrul Azim Mohd Zul Pathah (tengah) cuba melepasi halangan dua pemain Selangor pada perlawanan akhir pertama Piala Cabaran di Petaling Jaya.
Tonggak PDRM, Muhammad Fakhrul Azim Mohd Zul Pathah (tengah) cuba melepasi halangan dua pemain Selangor pada perlawanan akhir pertama Piala Cabaran di Petaling Jaya.
A
A
A

PENGENDALI PDRM FC, P Maniam mengakui kesukaran menentang Selangor FC biarpun lawan bermain 10 pemain dalam perlawanan akhir pertama Piala Cabaran.

Malah jelas Maniam, Selangor bermain lebih bagus dengan 10 pemain selepas Safuwan Baharuddin dibuang padang minit keenam dalam aksi yang menyaksikan PDRM 2-3 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Dalam bola sepak apabila anda bermain 10 pemain, mereka akan memberikan lebih daripada 100 peratus, jadi apabila kami bermain dengan 11 pemain, mereka akan selesa sedikit.

“Inilah psikologi, kadang-kadang ia berlaku tetapi apa-apa pun, tahniah kepada Selangor,” katanya.

Gergasi Merah sebelum itu melaungkan amaran awal apabila Alvin Fortes meledakkan gol pertama seawal minit ketiga.

Namun, tujuh minit kemudian kapten Selangor Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan kekasaran terhadap penyerang PDRM Shahrel Fikri Fauzi.

Biarpun beraksi dengan 10 pemain, Selangor enggan mengalah dengan Fortes menggandakan jaringan pada minit ke-18.

Namun, kealpaan benteng pertahanan Selangor menyaksikan Shahrel Fikri merapatkan jurang pada minit ke-27 diikuti jaringan penyamaan Badrul Affendy Fadzli, pada minit ke-39.

Artikel Berkaitan:

Penyerang import, Ali Olwan muncul wira Selangor apabila meledakkan gol kemenangan pada minit ke-51.

Sementara itu, Maniam turut memuji persembahan The Cops yang telah beraksi bersungguh-sungguh bagi menyaingi kualiti Selangor.

Dan bekas pemain Selangor itu mengakui misi mempertahankan kejuaraan masih belum berakhir kerana Cops masih mempunyai timbal balik kedua di Selayang pada Sabtu.

“Kami perlu memperbaiki pasukan dan masih peluang. Pemain kena faham bahawa pasukan perlu bermain 90 minit lagi.

“Kami perlu bangkit dan menjaringkan gol. Ia tidak mudah, tetapi tidak mustahil,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!