'Sebaiknya jangan hantar barang sendirian'

Zeti Amira yang terlibat dalam urus niaga COD sejak tujuh tahun lalu akan memastikan dirinya ditemani anak atau suami setiap kali penghantaran dibuat kepada pelanggan.
Zeti Amira yang terlibat dalam urus niaga COD sejak tujuh tahun lalu akan memastikan dirinya ditemani anak atau suami setiap kali penghantaran dibuat kepada pelanggan.
A
A
A

IPOH - Peniaga wanita perlu mengambil langkah lebih berhati-hati termasuk tidak bersendirian ketika menjalankan penghantaran secara tunai (COD).

Peniaga, Zeti Amira Abdul Rani, 35, berkata, langkah itu boleh mengurangkan risiko jenayah berlaku terutama membabitkan pelanggan baharu dan lokasi yang tidak terjangka.

“Sebaiknya jangan COD sendirian, tetapi jika terpaksa, kena pastikan individu terdekat kita tahu lokasi dan pihak yang berurusan tersebut.

“Jika perlu, kongsikan live location supaya ahli keluarga tahu kita selamat sampai di rumah selepas selesai COD,” katanya kepada Sinar Ahad.

Laporan Sinar Harian pada Sabtu
Laporan Sinar Harian pada Sabtu

Ibu kepada dua anak yang menjalankan perniagaan berasaskan bakeri seperti kek dan roti di rumah di Teluk Intan sejak tujuh tahun lalu mengakui, ada ketika dia perlu membuat penghantaran jauh sehingga ke Ipoh dengan jarak lebih 90 kilometer.

Bagaimanapun katanya, setiap kali penghantaran dibuat, dia akan memastikan dirinya ditemani anak atau suami.

“Kebiasaan waktu siang saya bawa anak-anak dan jika ada COD pada waktu malam, suami mesti menemani saya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di ALOR SETAR, peniaga, Syazwani Mat Isa, 33, yang turut membuat perkhidmatan menghantar makanan di Kedah mengamalkan doa pelindung diri ketika keluar menghantar pesanan.

Syazwani amal doa pelindung diri setiap kali keluar menghantar pesanan pelanggan
Syazwani amal doa pelindung diri setiap kali keluar menghantar pesanan pelanggan

Syazwani berkata, dia yang menggunakan motosikal untuk menghantar pesanan pelanggan menyedari risiko yang dihadapi.

Bagaimanapun katanya, dia selalu memohon kepada ALLAH SWT agar sentiasa dilindungi dan tidak menjadi sasaran individu yang berniat jahat ketika keluar mencari rezeki buat keluarga.

“Selain itu saya akan pastikan tidak membuat penghantaran di kawasan yang sunyi. Selalunya saya akan hantar terus di rumah pelanggan ataupun berjumpa di stesen minyak,” ujarnya.

Menurut ibu kepada dua anak ini, dia juga mengelakkan membuat penghantaran pada waktu malam.

“Kalau terpaksa juga saya akan minta bantuan suami untuk hantar pesanan berkenaan. Itu pun saya cuma hantar pesanan orang yang dikenali sahaja,” jelasnya.

Menurut Syazwani, dia juga tidak mengenakan perhiasan berlebihan yang boleh menarik minat khalayak umum.

“Selepas kejadian di Kuantan itu saya akan lebih berhati-hati termasuk menyediakan semburan gas pemedih mata ketika keluar menghantar pesanan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!