Muat turun aplikasi sebagai langkah keselamatan diri

Laporan Sinar Harian berhubung kes bunuh peniaga makanan, Norshamira Zainal, 37, yang mayatnya ditemui di tepi Sungai Kuantan, berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur Khamis lalu. (Gambar kecil: Amirah)
Laporan Sinar Harian berhubung kes bunuh peniaga makanan, Norshamira Zainal, 37, yang mayatnya ditemui di tepi Sungai Kuantan, berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur Khamis lalu. (Gambar kecil: Amirah)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengguna telefon pintar disarankan untuk memuat turun aplikasi keselamatan seperti Life360 atau Red Panic Button sebagai langkah keselamatan sekiranya berdepan situasi kecemasan.

Timbalan Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Dr Amirah Ismail berkata, ia membantu individu untuk menjejaki lokasi semasa dan menghantar isyarat kecemasan kepada pihak terdekat.

“Dalam kes seperti kehilangan atau ancaman keselamatan, aplikasi seperti ini sangat membantu pengguna, mereka terdekat dan pihak keselamatan untuk memberikan bantuan segera.

“Teknologi ini juga dapat meminimumkan risiko kejadian buruk dengan menghantar notifikasi segera berbentuk audio, foto atau video untuk mengesan lokasi dan paling utama, memudahkan pihak berkuasa memahami situasi yang dihadapi,” katanya kepada Sinar Ahad.

Dalam pada itu, Amirah turut menyatakan aplikasi seperti mySpy, Eyezy, Spynger dan Kitestring turut membolehkan pengguna mengaktifkan fungsi daftar masuk yang akan menghubungi terus mereka jika pengguna lain gagal melaporkan status keberadaan dalam masa ditetapkan.

“Banyak aplikasi seumpama ini kini direka khas untuk lebih mesra pengguna dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat termasuk mereka kurang mahir dengan teknologi.

“Dalam situasi kecemasan, masa sangat penting. Oleh itu, aplikasi keselamatan kini dilengkapi dengan ciri-ciri automasi seperti butang panik atau pengaktifan satu klik, yang membolehkan pengguna mengirimkan amaran kecemasan tanpa perlu melalui langkah yang rumit.

"Ini sangat berguna bagi golongan yang mungkin tidak biasa dengan aplikasi atau peranti pintar kerana mereka hanya perlu menekan satu butang untuk mendapatkan bantuan dengan segera," katanya.

Amirah berkata, selain penggunaan aplikasi berkenaan, pendidikan tentang keselamatan wanita dan kesedaran mengenai perlindungan terhadap golongan itu harus dipertingkatkan,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!