Tuan Ibrahim calon sesuai Presiden Pas - Penganalisis politik

Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Mohd Amar bahawa Pas masih memerlukan Abdul Hadi untuk memimpin dan menerajui parti itu.
Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Mohd Amar bahawa Pas masih memerlukan Abdul Hadi untuk memimpin dan menerajui parti itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat sebagai calon yang paling sesuai untuk memimpin parti itu selepas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berpandangan, kedudukan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yang lebih senior dalam parti serta mempunyai karakter sesuai membolehkan beliau antara individu tepat untuk menyambung legasi kepimpinan Pas.

“Pas memerlukan seorang pemimpin yang mampu untuk mengolah pemikiran kritikal dan paling penting, mempunyai aura untuk mengikat ahli-ahli dalam Pas.

“Individu tersebut perlu memiliki karakter yang tidak mudah untuk memusuhi serta mesra kaum, dan saya fikir ini adalah resipi yang diperlukan Pas buat waktu ini,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sebelum ini Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilapor memaklumkan, Pas tidak menghalang mana-mana pemimpin parti merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti September depan.

Menteri Besar Kedah itu menegaskan, tiada sekatan dikenakan terhadap mana-mana pemimpin bertanding mana-mana jawatan yang dipertandingkan dan ia terbuka kepada semua ahli yang layak.

Dalam pada itu Ariff Aizuddin berpendapat, Abdul Hadi dilihat sudah tidak relevan untuk terus mempertahankan jawatan yang disandang dalam parti sejak tahun 2005.

Ini kerana katanya, arus politik pada masa kini menuntut seorang pemimpin yang kritikal dengan persekitaran semasa.

Sebagai rekod, Abdul Hadi, 78, menduduki kerusi Presiden Pas sejak dipilih memangku jawatan itu pada tahun 2003 sebelum disahkan ke jawatan berkenaan dalam muktamar pada 2005.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penganalisis politik yang juga pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali turut senada dengan pandangan tersebut dengan melihat Tuan Ibrahim bukan sekadar ulama, tetapi mempunyai ciri-ciri kepimpinan seperti Abdul Hadi.

“Jika pemimpin itu tidak sejajar dengan naratif Melayu Islam yang menjadi teras kepada strategi Pas dalam meningkatkan pengaruhnya, itu mungkin sukar. “Jadi sosok seperti Presiden sekarang adalah sesuai untuk menggantikan (jawatan Presiden), mana-mana ahli Pas yang mempunyai ciri-ciri seperti beliau maka dia layak untuk menerajui Pas dan memastikan sokongan berterusan terhadap parti itu,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!