Ahmad Zahid ucap takziah kepada keluarga pelajar meninggal di Jordan

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan dari Malaysia, Allahyarhamah Nur Ain Nabila Mohd Damin,19, yang meninggal dunia di Jordan selepas pulang daripada menunaikan ibadah umrah.
Menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu, beliau berkata, pemergian Allahyarhamah pada 11 Februari lepas benar-benar menyentuh hatinya.
“Jenazah Allahyarhamah telah selamat dikebumikan sewaktu ibunya, Ustazah Nurhafizah Ibrahim tiba di Jordan. Tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan seorang ibu yang kehilangan anak tersayang, namun saya yakin ketabahan dan keimanan mereka sekeluarga akan menjadi kekuatan dalam menghadapi ujian ini.
“Mewakili saya, Setiausaha Politik, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang dalam kerangka lawatan ke Jordan telah menziarahi keluarga Allahyarhamah bagi menyampaikan keprihatinan serta memberikan sokongan moral kepada mereka dalam menghadapi saat sukar ini,” katanya.Sebelum ini, seorang pelajar perempuan Malaysia di Jordan dilaporkan meninggal dunia selepas pulang daripada menunaikan ibadah umrah pada Selasa.
Allahyarhamah Nur Ain Nabila, yang merupakan pelajar mahasiswa jurusan Fiqh Wa Usuluh di Universiti Mu’tah, Jordan menghembuskan nafas terakhirnya dipercayai akibat serangan jantung.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mendoakan agar keluarga pelajar tersebut diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ketentuan itu.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
