Mangsa bot terbalik ditemukan lemas

MERLIMAU - Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki terbalik di Loji Lanchang, Kampung Lanchang di sini ditemukan meninggal dunia.
Komander Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Farid Abu Bakar berkata, mayat mangsa, Mohd Nur Fitri Abdul Rahman, 21, ditemui pada jam 2.21 petang.
Menurutnya, jasad mangsa ditemui di sektor pencarian utama iaitu kira-kira 50 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.
"Mayat mangsa telah berjaya dinaikkan ke darat seterusnya kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi mencari dan menyelamat telah ditamatkan jam 3.26 petang," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama tiga ahli keluarga lain terbalik ketika menjala ikan.
JBPM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 10.36 pagi sebelum 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Jasin Bestari digerakkan ke lokasi.
Tiga ahli keluarga lain iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun, wanita berusia 35 tahun dan kanak-kanak lelaki 10 tahun berjaya diselamatkan orang awam.

JBPM menggunakan teknik water surface dengan satu bot dari BBP Jasin Bestari serta satu bot orang awam.
Operasi pencarian dilakukan di tiga sektor iaitu lokasi mangsa terjatuh, sektor kedua di tengah sungai (arus deras) dan ketiga di hujung muara sungai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

