Dollah, Zainal mahu curah pengalaman, buat perubahan

NAIB presiden baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Dollah Salleh akan menggunakan pengalaman luas yang dimilikinya dalam sukan tersebut untuk membantu membawa perubahan dalam industri bola sepak.
Beliau yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan berkata, perancangan khusus juga sudah diatur merangkumi pelbagai aspek termasuk di peringkat akar umbi bola sepak.
Menurutnya, perancangan tersebut juga turut direncanakan bersama seorang lagi legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan yang turut dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) dalam kongres pemilihan yang berlangsung pada Sabtu.
"Perancangan itu memang ada. Saya juga sudah bercakap dengan Datuk Zainal dan kami ada pelan untuk membantu pasukan Harimau Malaya dan FAM.
"Kami akan duduk dengan semua Exco dan luahkan apa yang kami nak berikan dalam aspek keseluruhan bola sepak terutama dari akar umbi.
"Ia kerana orang dah tengok Zainal dan Dollah dah masuk (dalam FAM), tak mahu orang kata di takuk itu saja (FAM) jadi kita mahu ada perubahan dan peningkatan," katanya.
Selain Dollah, tiga lagi kerusi naib presiden diisi oleh Datuk Seri Rosmadi Ismail, N Saaran dan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.
Dalam pada itu, Zainal menyifatkan tanggungjawab besar perlu digalasnya selepas diberikan kepercayaan untuk mengisi jawatan Exco itu.
Beliau juga senada dengan Dollah yang menegaskan sudah mempunyai perancangan tersendiri, namun belum sedia mendedahkannya selain mahu melihat terlebih dahulu peranan yang akan diberikan kepadanya dalam FAM.
"Kami mempunyai perancangan sendiri untuk memperbaiki dan meningkatkan bola sepak negara.
"Kami memang mahu berkongsi pengalaman, namun tidak menyangka dapat berada pada tahap ini dalam FAM. Sudah tentu kami akan berikan yang terbaik apabila sudah terpilih," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!