Ajak Shiro bantu bomba pujuk lelaki berparang di Menara LPP

KUALA LUMPUR – Penyampai radio dan pelawak, Ajak Shiro berjaya memujuk seorang lelaki bersenjatakan parang yang berada dalam keadaan berbahaya di tingkat 11 Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jalan Sultan Salahuddin pada Jumaat.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada lelaki terbabit pada jam 10.23 pagi yang memaklumkan keberadaannya di lokasi berkenaan.
Anggota bomba, PB Azaha Yasim yang menerima panggilan tersebut cuba memujuk lelaki itu, namun individu terbabit meminta untuk bercakap dengan Ajak atau nama sebenarnya, Hanaffi Razak, yang didakwa sebagai kenalannya.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 10.32 pagi, mangsa berada di hujung bangunan tingkat 11 dan sukar didekati kerana dia memegang parang.
“Mangsa akhirnya berjaya dipujuk dengan bantuan Ajak Shiro yang turut hadir ke lokasi kejadian,” kata kenyataan itu.
Lelaki tersebut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul serta Sri Hartamas.
Mengulas kejadian itu, Ajak berkata, dia tidak mengenali lelaki tersebut tetapi tetap memberikan kerjasama sebaik mungkin selepas dimaklumkan oleh pihak bomba bahawa individu berkenaan mahu bercakap dengannya.
"Saya tak tahu kenapa dia mahu bercakap dengan saya. Tapi mungkin sebab dia tahu saya mempunyai perniagaan, jadi mungkin dia nak dibantu.
"Ketika pihak bomba hubungi, saya dapat bercakap dengan lelaki itu dari konti radio sehinggalah di dalam kereta sambil memandu ke tempat kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!