Parkir merata tempat, pihak berkuasa bocor tayar kenderaan

Beberapa pegawai tempatan dilihat menggunakan objek tajam untuk menebuk tayar kenderaan yang diparkir di sepanjang jalan. - Agensi
Beberapa pegawai tempatan dilihat menggunakan objek tajam untuk menebuk tayar kenderaan yang diparkir di sepanjang jalan. - Agensi
A
A
A

RAHIM YAR KHAN – Tindakan melulu pihak berkuasa di Sadiqabad, daerah Rahim Yar Khan, Pakistan, yang membocorkan tayar kenderaan pengguna yang diletakkan di kawasan larangan parkir mengundang kecaman hebat daripada orang ramai.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, beberapa pegawai tempatan dilihat menggunakan objek tajam untuk menebuk tayar kenderaan yang diparkir di sepanjang jalan.

Malah lebih mengejutkan, ada pemandu yang masih berada di dalam kenderaan ketika tindakan itu dilakukan.

Difahamkan, operasi tersebut dijalankan atas arahan pegawai setempat sebagai langkah menguatkuasakan peraturan lalu lintas.

Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan kemarahan penduduk dan peniaga tempatan yang menyifatkannya sebagai keterlaluan serta tidak berperikemanusiaan.

Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, walaupun parkir di kawasan larangan adalah satu kesalahan, membocorkan tayar bukanlah langkah yang wajar.

“Kami faham peraturan harus dipatuhi, tetapi tindakan melulu seperti ini bukan cara yang betul. Ramai yang terjejas akibat tindakan ini,” katanya.

Susulan kontroversi yang timbul, Pegawai Daerah telah mengarahkan Timbalan Pesuruhjaya, Irfan Anwar, untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa turut menyatakan kekesalan mereka dan memberi jaminan bahawa pampasan akan diberikan kepada pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan.

Dalam pada itu, penduduk tempatan turut menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan tempat parkir di kawasan tersebut yang sering memaksa mereka meletakkan kenderaan di lokasi larangan.- Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!