Kemelut pemilihan Pengerusi PH Perak belum selesai

KAJANG - Kemelut pemilihan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak masih belum menemui penyelesaian dan hanya akan diputuskan selepas perjumpaan pemimpin PH Perak dengan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, keputusan itu dibuat setelah perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang diadakan baru-baru ini.
Jelasnya, dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri selaku Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan taklimat tentang perkembangan di Perak namun menurut Shamsul Iskandar ia bukan suatu yang serius.
"Saya percaya arahan beliau untuk Ketua Sekretariat adalah turun dan berbincang dengan pihak-pihak mempunyai wewenang dalam PH di Perak melibatkan semua parti untuk mencari satu keputusan muktamad.
"Saya fikir ini bukan satu perkara yang besar dan setakat ini kita sedang menunggu keputusan, dan sehingga sekarang jawatan tersebut masih lagi kosong," ujarnya.

Beliau ditemui pada Program Bantuan Amal Baucar RM200 dan Bakul Makanan dianjurkan Badan Kebajikan Pendidikan Pelajar Miskin Malaysia (BKPPMM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kajang Utama di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi BKPPMM, Mohd Sufian Mat Junus.
Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar percaya ia akan dapat diselesaikan dalam waktu terdekat ini kerana kita harus melakukan persiapan untuk berdepan dengan pilihan raya akan datang.
Pada 9 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan Shamsul Iskandar dijangka dilantik sebagai Pengerusi PH Perak yang baharu menggantikan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Difahamkan keputusan telah dicadangkan dalam mesyuarat PH Perak pada 6 Disember tahun lalu membabitkan beberapa pimpinan tertinggi PH Perak menerusi gabungan DAP, Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Shamsul Iskandar akan dibantu empat Timbalan Pengerusi PH Perak iaitu Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi; Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi PKR Perak Mohamad Hairul Amir Sabri dan Pengerusi UPKO Perak, Datuk Suki Mee.
Mohamad Hairul Amir ketika dihubungi Sinar Harian pula memaklumkan perkara itu masih belum dimuktamadkan meskipun telah diangkat dalam mesyuarat.
Jelasnya, sebarang keputusan mengenai perkara tersebut tertakluk kepada pimpinan tertinggi PH pusat.
Sementara itu, mengenai Program Bantuan Amal Baucar RM200 dan Bakul Makanan anjuran BKPPMM, Mohd Sufian pula menjelaskan, sebanyak lebih RM100,000 diperuntukkan untuk membantu pelajar dan keluarga miskin sempena program itu.
"Penerima kurang berkemampuan di kawasan Parlimen Kajang ini menerima baucar dan bakul makanan dan usaha ini tidak akan terhenti di sini malah akan diteruskan pada masa akan datang.
"Bantuan kewangan ini juga turut diterima daripada badan-badan korporat menerusi program CSR bagi membantu BKPPMM untuk menyalurkan bantuan kepada penerima yang layak," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!