Pecah tabung surau guna mesin 'grinder'

Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan tindakan lelaki mencuri wang tabung surau di Ipoh. Gambar kecil: Abang Zainal Abidin
Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan tindakan lelaki mencuri wang tabung surau di Ipoh. Gambar kecil: Abang Zainal Abidin
A
A
A

IPOH - Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai memecah tabung menggunakan mesin 'grinder' di sebuah surau di Taman Tasek Damai dekat Kampung Tawas, bulan lalu yang mengakibatkan kerugian sekitar RM150.

Tindakan seorang lelaki berbaju hitam dan berseluar jeans memotong mangga menggunakan mesin 'grinder' itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sekitar jam 10.40 pagi pada 21 Januari lalu.

Rakaman tersebut turut menunjukkan suspek memasukkan wang tersebut ke dalam beg miliknya sebelum meninggalkan premis berkenaan beberapa minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan kejadian itu diterima daripada setiausaha surau yang berusia 42 tahun jam 3.03 petang pada hari sama.

"Hasil semakan CCTV mendapati seorang lelaki bangsa tidak pasti memotong mangga tabung dengan menggunakan mesin pemotong besi dan melarikan kesemua wang tunai tabung tersebut.

"Pihak polis daerah Ipoh sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut Abang Zainal Abidin, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Nor Shila di talian 011-11454886 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!