Penggiat seni, graduan UiTM perlu terus teroka pasaran industri

KUALA LUMPUR - Penggiat seni termasuk graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu meneruskan penglibatan dan meneroka pasaran industri bidang tersebut agar dapat mengharumkan nama universiti serta negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia kerana semua pihak mempunyai tanggungjawab dalam memastikan seni dan tradisi negara terus brkembang sekali gus menyumbang kepada kemampanan industri pada masa akan datang.
Menurut beliau, menerusi Pameran Graduan Bidang Seni Halus Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam, NUANSA, potensi bakat baru dapat diperkenalkan terutama di kalangan pelajar universiti dan membuka ruang untuk menonjolkan bakat mereka dalam industri seni.
"Platform NUANSA ini juga menjadi wadah dalam mengetengahkan isu-isu semasa yang penting kepada masyarakat di negara ini.
"Ia turut membantu masyarakat memahami bahawa industri seni ini bukan sahaja mampu menyumbang dari sudut ekonomi tetapi juga dari aspek pembentukan identiti kebangsaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Pameran NUANSA di GMBB, Bukit Bintang pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.
Menurut Tengku Zafrul, kementeriannya bekerjasama dengan beberapa galeri tempatan untuk mempamerkan karya seni sempena penganjuran Ekspo Dunia 2025 yang akan diadakan di Osaka, Jepun.
Jelas beliau, inisiatif berkenaan bertujuan bagi mengangkat kualiti seni dan budaya negara di peringkat antarabangsa.
"Kita di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai peneraju Expo Dunia di Osaka, Jepun, kita mempunyai ruang untuk mempamerkan ruang karya-karya artis tempatan kita.
"Beberapa galeri di Malaysia telah bersetuju bekerjasama dengan MITI untuk mempamerkan seni kita termasuk arca dan sebagainya.
"Kita hendak tunjukkan kepada semua pelawat di pavilion Malaysia, bagaimana artis kita mempunyai bakat dan bercerita sedikit mengenai Malaysia melalui seni," ujarnya.
Pameran yang meraikan hasil kerja pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Halus menampilkan lebih daripada 300 karya seni visual oleh 78 seniman baharu, memberikan pengalaman menyeluruh kepada khalayak dalam pembangunan industri seni halus Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!