Ryan Bakery seronok berada di konti

Ryan mengakui seronok diberi peluang sebagai penyampai radio.
Ryan mengakui seronok diberi peluang sebagai penyampai radio.
A
A
A

JIKA ada yang berpendapat tugas sebagai penyampai radio mudah, hakikat tersebut disangkal keras oleh pempengaruh media sosial, Ryan Bakery.

Ujar Ryan atau nama sebenarnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery, banyak perkara yang perlu dipelajari selain harus lebih realistik untuk berkomunikasi agar tidak dianggap ‘syok sendiri’ ketika bersiaran.

Ryan, 29, yang sebelum ini diberi peluang mengendalikan segmen 3 Pagi Era bersama Nabil Ahmad dan Radin minggu lalu, menyifatkan pengalaman tersebut membuka matanya tentang banyak perkara penting ketika berada di konti.

Ryan akui banyak perkara yang perlu dipelajari selain harus lebih realistik untuk berkomunikasi agar tidak dianggap ‘syok sendiri’ ketika bersiaran.
Ryan akui banyak perkara yang perlu dipelajari selain harus lebih realistik untuk berkomunikasi agar tidak dianggap ‘syok sendiri’ ketika bersiaran.

“Ramai pendengar berpendapat menjadi penyampai radio memang satu kerja yang mudah. Tapi hakikatnya ia bukanlah semudah yang disangka memandangkan banyak perkara yang perlu diambil kira ketika bersiaran.

“Kita selalu menganggap penyampai radio hanya bercakap tetapi apa yang lebih penting adalah keserasian dan bagaimana sesuatu topik perbincangan akan dibahaskan bukan sahaja sesama penyampai tetapi juga dengan pendengar,” kata Ryan bercerita.

Meskipun masih terlalu awal untuk menelah ‘dunia’ baharunya itu, Ryan gembira dapat berinteraksi bersama pendengar yang sentiasa proaktif dalam memberikan idea dan pendapat saat mereka mengulas tentang topik perbincangan harian.

“Di situlah saya melihat peranan penyampai dalam membawa emosi pendengar untuk bercerita. Nabil dan Radin sudah berpengalaman luas dan tahu bagaimana untuk mengawal keadaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya dapat banyak pengalaman dan pelajaran baharu bersama mereka. Mereka pula tidak lokek membantu orang baharu seperti saya,” kata finalis kategori Digital Creator (Hiburan) Tergempak, Gempak Most Wanted Award ini lagi.

Namun apa yang lebih menggembirakan tatkala melihatkan maklum balas positif yang ditinggalkan oleh pendengar di media sosial.

Sebagai orang baharu, pastinya maklum balas berkenaan amat penting buat bapa kepada seorang cahaya mata itu untuk terus memberikan yang terbaik sepanjang berada di stesen Era.

“Pada peringkat awal memang saya takut memandangkan terpaksa menggantikan tempat Pak Azad yang sedang menunaikan umrah. Takut juga kalau ada perbandingan memandangkan dia sudah berpengaruh dan mempunyai pengikut tersendiri.

“Bagaimanapun bila melihatkan respons daripada pendengar, saya lega. Mereka tidak membandingkan dan menerima Ryan Bakery. Itu sudah cukup memberikan kelegaan.

“Mungkin ini adalah rezeki baharu buat saya untuk mengembangkan lagi cabang lain dalam bidang seni,” katanya yang baru sahaja menghantar kedua orang tuanya menunaikan umrah minggu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!