Dua kereta terbakar selepas bertembung, lapan terselamat

BALIK PULAU - Dua kereta terbakar selepas bertembung di Jalan Tun Sardon, di sini dalam kejadian pada jam 2.30 pagi Selasa.
Kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki lima sekeluarga manakala kereta jenis Mercedes A250 Sport dinaiki tiga orang lelaki.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kesemua mangsa bagaimanapun hanya mengalami cedera di kaki, muka dan tangan.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika lima sekeluarga yang baru pulang dari Hatyai menghala ke Balik Pulau bertembung dengan Mercedes A250 Sport yang datang dari arah Balik Pulau menuju ke George Town.

"Kita menerima aduan pada jam 3 pagi berhubung kemalangan tersebut. Siasatan awal mendapati, ketika tiba di selekoh Jalan Tun Sardon, kereta Mercedes A250 Sport telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza.
"Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan telah terbakar di tempat kejadian. Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam dan pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian.
"Ketika kejadian, cuaca baik dan jalan raya juga dalam keadaan kering," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Sazalee berkata, pemandu Perodua Alza yang berusia 35 tahun mengalami luka di tangan dan kaki manakala isterinya yang berusia 34 tahun luka di kaki kiri.
"Selain mereka, ibu mertua kepada pemandu berusia 74 tahun juga mengalami luka di kaki kanan, kakak ipar luka di tangan dan kaki serta anak pasangan itu berusia 10 tahun turut luka di tangan dan kaki.
"Sementara pemandu Mercedes dan dua rakannya masing-masing berusia 21 tahun mengalami luka di tangan, muka dan kaki," katanya lagi.
Tambah beliau, kedua-dua pemandu mempunyai lesen memandu yang sah dan lesen kenderaan bermotor (LKM) juga masih sah tempoh.
"Kedua-dua kereta tersebut terbakar keseluruhannya. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

