Suami isteri ditahan disyaki dera anak usia 7 tahun hingga maut

Hasil bedah siasat mendapati banyak tanda kesan dera lama dan baru pada fizikal mangsa. - Gambar hiasan
Hasil bedah siasat mendapati banyak tanda kesan dera lama dan baru pada fizikal mangsa. - Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Pasangan suami isteri ditahan kerana disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan dari Hospital Kajang berkaitan insiden itu jam 1.11 pagi.

"Pihak hospital memaklumkan pasangan tersebut membawa mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di zon merah wad kecemasan Hospital Kajang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Naazron berkata, hasil bedah siasat pada jam 12.30 tengah hari mendapati banyak tanda kesan dera lama dan baru pada fizikal mangsa.

"Punca kematian disebabkan kecederaan di perut akibat objek tumpul," ujarnya.

Beliau berkata, ibu bapa mangsa berusia 38 dan 40-an ditahan polis bagi membantu siasatan.

"Kedua-dua suspek itu telah ditahan direman selama enam hari sehingga 4 Februari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Asisten Superintenden Nur Ayuni Abd Aziz di talian 016-2080717," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!