Lawatan Anwar ke Batu Caves bukti kerajaan perkukuhkan perpaduan

SHAH ALAM - Lawatan bersejarah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Batu Caves sempena sambutan Thaipusam membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan perpaduan dan menghargai masyarakat India di Malaysia.
Setiausaha Politik Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivanan Gowin berkata, kunjungan itu juga mencerminkan penghormatan Anwar terhadap tradisi agama dan budaya sekali gus menangkis dakwaan mengena pengabaian kaum India.
“Satu aspek penting mendapat perhatian adalah tiadanya campur tangan pasukan protokol Perdana Menteri dalam susunan acara yang dikendalikan oleh penganjur.
“Ini menunjukkan rasa hormat Anwar terhadap sensitiviti budaya dan kepercayaan masyarakat India,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan keterujaan Perdana Menteri mengadakan lawatan ke Batu Caves sempena sambutan Thaipusam yang disambut oleh penganut Hindu Selasa ini.
Mengesahkan perkara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata, lawatan bersejarah Anwar itu juga bagi meninjau persiapan perayaan berkenaan di kuil Batu Caves.
Tambah Manivanan, selepas lawatan tersebut, terdapat lonjakan sentimen positif dalam kalangan masyarakat India terhadap kepimpinan Anwar dan Kerajaan Perpaduan.
“Kehadiran di Batu Cavses bersama pemimpin daripada DAP iaitu Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan PKR merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan telah memperkukuh semangat perpaduan serta menegaskan beliau ialah pemimpin untuk semua rakyat.
“Semoga sambutan Thaipusan kali ini membawa keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang berterusan untuk Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

