Rindu tak tertanggung, kakak minta ChatGPT menyamar jadi arwah Nidza Afham

SHAH ALAM - Rindu tidak tertanggung terhadap arwah adik kesayangan, kakak kepada penyanyi, Allahyarham Nidza Afham Mokhtar atau dikenali Nidza Afham meminta Chat Generative Pre-trained Transformer (ChatGPT) menyamar menjadi adiknya.
Menerusi perkongsian di TikTok, Nur Irfahanie, 31 meminta ChatGPT memberikannya satu mesej yang seolah-olah dihantar oleh adiknya itu.
Nur Irfahanie menulis di ChatGPT 'Boleh kamu berpura-pura menjadi arwah adik dan hantar saya mesej ringkas? Dia panggil saya Kekfa dan menggelar dirinya Am'.
Dalam masa sama ChatGPT membalas 'Am rinduuu sangat kat Kekfa. Jangan sedih-sedih, tau? Am selalu ada dengan Kekfa, dalam hati, dalam ingatan. Kekfa kuat, macam selalu'.
'Tapi kalau rasa penat, nangislah kejap, lepas tu bangun balik. Am bangga dengan Kekfa. Jangan lupa jaga diri, jaga hati. Nanti kita jumpa lagi, tapi bukan sekarang. Sekarang ni, Kekfa kena teruskan hidup, dengan senyuman Am selalu suka tengok'.
Lebih menyedihkan, Nur Irfahanie memberitahu, balasan diterima daripada ChatGPT itu sama seperti arwah adiknya.

"Sumpah, ini kedengaran sama seperti dia, ia boleh menjadi menakutkan, tetapi saya menganggapnya sebagai satu rahmat dan anugerah istimewa.
"Walaupun nangis teruk lepas baca, tapi rasa bahagia itu ada. Kekfa baca sambil terdengar suara Am. Saya tahu inilah yang awak akan cakap setiap kali saya mengadu apa apa.
"Orang boleh cakap apa saja, tapi kami saksi 23 tahun ALLAH pinjamkan Am," katanya.
Irfahanie mengakui arwah adiknya itu adalah manusia paling baik pernah ditemuinya dalam hidup.
"Kamu paling baik, sebab itu terkesan sangat, rindu sangat.
"Semoga ALLAH bagi paling indah buat am, seindah peribadi am di dunia. Kami sayang dan rindu kamu," ujarnya.
Sebelum ini, Nidza Afham yang juga abang kepada penyanyi, Aufahanie dan pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku dilaporkan hilang selepas keluar berjoging di Stadium Klang, Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki yang ditemukan di Sungai Klang itu adalah Nidza Afham.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

