Ikmal, Hakimi juara Maskulin Who’s Your Bro

DAMANSARA - Maskulin Who’s Your Bro melabuhkan tirai dengan penobatan finalis duo, Ikmal Amry dan Hakimi Noordin sebagai juara dengan pengakhiran yang penuh epik serta mendebarkan.
Kemenangan tersebut membolehkan pelakon, Ikmal Amry atau nama sebenarnya, Mohd Zulikmal Amry, 30, dan model, Hakimi Noordin atau Muhammad Nurhakimi Mohd Noordin, 24, membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM30,000 serta sebuah trofi.

Menurut Ikmal, beliau tidak menjangkakan kebolehan diri yang disangka tidak mampu menghabiskan kesemua cabaran tersebut berakhir dengan menempatkannya sebagai juara.
“Sejujurnya saya masuk pertandingan ini untuk diri sendiri dan saya rasa tak boleh pergi jauh kerana suka main gim sahaja. Kami pun tak percaya boleh menang, jika nak dibandingkan dengan kumpulan lain, semuanya atlet berpengalaman.

“Tetapi disebabkan semua kumpulan peserta menyokong antara satu sama lain, berlatih sekali...kami tahu tahap diri masing-masing di mana dan tetap buat yang terbaik untuk menang pertandingan ini,” katanya kepada Sinar Harian di Watch Party Maskulin Who’s Your Bro di The Podium di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengurus Saluran Astro Ria, Muhammad Idlan Zahari dan Ketua Bahagian New Gen, Men & Hobbies NU Ideaktiv, Mohd Fiezreen Ahmad.
Dalam pada itu, Hakimi berpendapat, semangat tinggi yang ditunjukkan sejak bermula pertandingan tersebut menjadi punca utama kejayaannya untuk bergelar juara.

Tidak termakan dengan kata-kata negatif mempertikaikan kebolehan diri, Hakimi berkata, apa yang dilontarkan itu menjadi pembakar semangat buat dirinya dan Ikmal dalam menghabiskan semua cabaran serta bergelar juala.
“Tidak kisah siapa pun awak dalam dunia ini, kalau betul mahukan sesuatu, walaupun terpaksa berkorban untuk benda yang kita nak, kita pasti mampu,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Produksi dan Inovasi Kandungan NU Ideaktiv Sdn Bhd, Che’Az berkata, program Maskulin Who’s Your Bro itu bukan sahaja memaparkan berkenaan kebolehan atau ‘fitness’ para peserta tetapi juga sarat dengan hubungan persaudaraan.
Jelasnya program ini juga telah menunjukkan sifat sebenar para peserta tambah lagi apabila melakukan cabaran yang menguji ketahanan fizikal dan mental mereka.
“Semestinya program ini merupakan satu ‘kerja gila’, bukan sahaja berkenaan ketahanan fizikal tetapi juga hubungan ‘brotherhood’ para peserta.

“Bercakap mengenai diri sebenar mereka, dalam program ini kita dapat lihat ego mereka yang mana perkara itu wujud dalam hati setiap manusia, sama ada mahu ketepikan ego itu atau sama-sama berjuang habiskan cabaran ini. Perkara itulah yang menjadi garapan untuk program ini,” katanya.
Tambah beliau, kesemua cabaran ekstrem dalam program tersebut dirujuk dan diperiksa oleh perundingnya untuk mengelakkan daripada sebarang perkara tidak diingini berlaku.

“Adakah cabaran itu logik? Boleh buat atau tidak? Adakah ia selamat? Jadi segala fizik dan matematik digunakan untuk mengira kebolehan para peserta kerana kita tahu perkara ini melibatkan nyawa serta keselamatan mereka,” jelasnya.
Ditanya mengenai siri kedua Maskulin Who’s Your Bro, Che’Az berkata, disebabkan program tersebut mendapat sambutan ramai, pihaknya tidak menafikan akan ada siri yang seterusnya pada masa hadapan.

Maskulin Who’s Your Bro merupakan rancangan realiti unik menampilkan 12 peserta lelaki berusia 24 hingga 39 tahun dalam cabaran fizikal dan mental sepanjang 10 episod.

Kesemua peserta diuji agar menggunakan kekuatan luar biasa masing-masing yang mana setiap cabaran dirancang untuk menonjolkan ketahanan, kecerdasan, kerjasama sambil mencipta naratif penuh transformasi peribadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

