Lady, Grouse bantu cari pemuda dikhuatiri lemas

Khidmat Dua anjing K9, Lady dan Grouse untuk operasi mencari dan menyelamat hari kedua. Foto ihsan JBPM
Khidmat Dua anjing K9, Lady dan Grouse untuk operasi mencari dan menyelamat hari kedua. Foto ihsan JBPM
A
A
A

RAUB - Khidmat dua anjing pengesan (K9), Lady dan Grouse dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) digunakan pada hari kedua selepas seorang pemuda dikhuatiri lemas ketika mandi bersama abangnya di Sungai Kampung Badang, Jalan Cheroh dekat Batu Talam di sini pada Selasa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mangsa dikenali Ahmad Khairul Nizam bin Sudin, 22, masih belum ditemui pada Rabu.

Menurutnya, abang mangsa, Muhamad Tarmizi Sudin, 23, ditemui selamat dan hanyut bersama bot fiber pada Selasa.

Abang mangsa, Muhamad Tarmizi yang ditemui selamat pada Selasa. Foto ihsan JBPM
Abang mangsa, Muhamad Tarmizi yang ditemui selamat pada Selasa. Foto ihsan JBPM

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.08 petang dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bersama tiga jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

"Turut terlibat dalam operasi ini anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, pasukan bomba membuat operasi pencarian secara terbuka di kawasan sekitar tebing sungai tersebut pada hari pertama operasi.

Jelas beliau, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin juga telah digerakkan ke lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi ditangguhkan pada jam 8 malam (Rabu) dan akan disambung pada esok pagi (Khamis)," katanya.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengingatkan kepada orang ramai agar mengelakkan mandi atau sebarang aktiviti di lokasi berisiko terutama ketika masih berdepan musim Monsun Timur Laut (MTL) serta mengamalkan pemakaian alat apungan peribadi (PFD).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!