Syarul Ezani enggan 'menghilang' lagi

Syarul kembali mengecap populariti dalam masa singkat.
Syarul kembali mengecap populariti dalam masa singkat.
A
A
A

PERCATURAN Syarul Ezani untuk kembali aktif dalam dunia lakonan selepas 'menghilang' selama 15 tahun ternyata membuahkan hasil.

Meskipun ada yang menyangka lelaki berusia 36 tahun itu aktor baharu, namun pemilik nama penuh Syarul Ezani Mohamed Ezzudeen membuktikan dia mempunyai bakat besar untuk dipertaruhkan.

Selepas melonjak naik menerusi siri Kami dan seterusnya filem berjudul sama pada tahun 2007, aksi anak kelahiran Kuala Lumpur di kaca televisyen kembali menjadi perhatian ramai.

Namun bukan hanya sekadar mahu menguji pasaran, Syarul berkata, dia berharap dapat mencuba pelbagai cabaran baharu dalam industri seni.

"Setakat ini saya tidak perancangan untuk menghilang lagi. Selagi boleh, saya mahu meneroka watak dan cerita baharu yang memberi cabaran kepada saya.

"Walaupun ada kalanya penat kerana terikat dengan satu persatu penggambaran, tetapi saya puas dapat menyampaikan watak dan cerita itu dengan baik," katanya kepada Sinar Harian.

Syarul berkata demikian ketika ditemui semasa pelancaran siri One Cent Thief musim kedua di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkongsi penglibatan dalam siri kedua itu, Syarul berkata, dia merupakan antara peminat One Cent Thief musim pertama.

Justeru, apabila dimaklumkan mengenai sesi uji bakat musim kedua, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertainya.

Artikel Berkaitan:

"Saya membawakan watak sebagai polis perisik bernama Dzia dan dalam siri ini, saya perlu menjayakan beberapa babak aksi.

"Walaupun penat, tetapi saya puas dapat menjayakan watak seperti ini. Dalam masa sama, ada juga kebimbangan dan tekanan terlibat dalam siri ini kerana saya adalah peminat siri itu meliputi pengarahnya, pelakon, skrip dan teknikal siri itu.

"Namun saya melihat juga dari sudut positif dan harap peminat musim pertama boleh menerima kehadiran saya dalam siri kedua," katanya.

One Cent Thief musim dua adalah hasil sentuhan kreatif dua nama besar dalam industri, Ariff Zulkarnain dan Alfie Palermo.

Mula bersiaran sejak 31 Januari lalu, setiap Jumaat jam 9 malam di Astro Citra (saluran 108) serta hari Isnin jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), drama ini turut dibintangi Syafiq Kyle, Azira Shafinaz, Faizal Hussein, Fabian Loo, Sofia Jane, Trisha Ooi dan Shashi Tharan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!