Lelaki menyamar polis direman tujuh hari

BUTTERWORTH - Seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun dan menyamar polis dalam kejadian di susur keluar Sungai Dua di sini pada 29 Januari lalu.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Pegawai Pendaftar, Nuha Farzana Nor ‘Azam di Mahkamah Majistret di sini terhadap suspek berusia 38 tahun itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 392/170 Kanun Keseksaan.
Suspek terbabit tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 10.30 pagi dengan berpakaian baju lokap serta diiringi polis.
Difahamkan, suspek yang mempunyai 14 rekod kesalahan lampau itu ditangkap pada jam 8.30 malam Selasa oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Khas D9 di Jalan Pekan Lama Kuala Ketil, Kedah.
Tangkapan dibuat susulan laporan yang diterima daripada seorang warga asing disamun oleh suspek yang menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di susur keluar Sungai Dua di sini pada 29 Januari lalu.
Suspek yang menunggang motosikal jenis Honda RSX dikatakan menahan mangsa berusia 40 tahun yang ketika itu dalam perjalanan dari Seberang Jaya menghala ke Sungai Petani, Kedah.
Suspek kemudian mengambil beg milik mangsa sebelum cuba melarikan diri.
Difahamkan, mangsa sempat bergelut untuk mendapatkan semula barang miliknya dan suspek hanya sempat melarikan wang berjumlah RM200.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
