Dah tak kena 'sidai' di klinik kesihatan

Suasana di Klinik Kesihatan Seremban 2 yang tidak terlalu sesak ketika tinjauan Sinar Harian pada Rabu.
Suasana di Klinik Kesihatan Seremban 2 yang tidak terlalu sesak ketika tinjauan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Tidak perlu lagi menunggu terlalu lama malah perkhidmatan ditawarkan di Klinik Kesihatan juga disifatkan semakin baik.

Itu respon beberapa pesakit yang ditemui Sinar Harian di Klinik Kesihatan (KK) Seremban 2 di sini pada Selasa.

Tinjauan Sinar Harian pada jam 10 pagi mendapati, kemudahan berkenaan tidak terlalu sesak terutama di bahagian pendaftaran dan semakin berkurangan menjelang jam 11 pagi.

Seorang lelaki warga emas yang mahu dikenali sebagai Ravi, 72, berkata, perkhidmatan di klinik kesihatan sekarang dilihat lebih baik berbanding dahulu.

"Macam hari ini saya sampai di KK Seremban 2 ini jam 8.30 pagi untuk cuci luka kencing manis dan jam 10 pagi sudah selesai semua urusan.

"Bagi saya cepatlah berbanding dahulu. Kalau lebih setengah jam pun, tidaklah terlalu lama. Tapi saya tak tahulah jika di klinik lain," katanya.

Suri rumah, Wan Kasmaniza Wan Ibrahim, 43, pula memberitahu, dia tidak pernah berdepan pengalaman tidak menyeronokkan ketika mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.

Ujarnya, perkhidmatan diberikan bukan saja terbaik, malah tempoh menunggu biasanya tidak lebih dari satu jam.

"Kalau di KK Seremban 2 ini, biasanya kalau saya bawa anak dapatkan rawatan untuk demam, dalam tempoh setengah jam semuanya dah selesai.

Artikel Berkaitan:

"Ia lebih cepat berbanding saya bawa ke KK yang berhampiran tempat tinggal di Sendayan. Mungkin tengok tempat," katanya.

Bagaimanapun lain pula kisahnya dengan P Maligaa, 63, apabila dia terpaksa menunggu lebih sejam sebelum nombor gilirannya dipanggil untuk berjumpa doktor.

"Saya datang untuk pemeriksaan kesihatan bulanan, ada masa cepat dan ada masa lambat.

"KK ini selesa dan luas, tetapi tidak tahu keadaan di KK lain. Cuma saya berharap boleh buat sesuatu untuk kurangkan waktu menunggu," katanya yang ditemani anak perempuannya.

Media pada 3 Februari melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya mengurangkan tempoh waktu menunggu dari tiga jam kepada 30 minit bagi perkhidmatan yang ditawarkan di klinik kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, pencapaian itu dilakar menerusi tekad pelaksanaan agenda transformasi digital kesihatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!