Polis sahkan selesai rakam percakapan 'bakal isteri' Tengku Mahkota Pahang

KUANTAN - Polis mengesahkan sudah merakam percakapan seorang wanita mendakwa akan melangsungkan perkahwinan bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada April depan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya kini dalam dalam proses melengkapkan siasatan terhadap wanita berusia 38 tahun dikenali sebagai Faridah Daud.
"Kita berjaya kesan wanita ini di Perak dan percakapannya sudah dirakam.
"Setakat ini, siasatan berada di peringkat akhir sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Bagi Februari Tahun 2024 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Perkarangan IPK Pahang di sini pada Selasa.
Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 17 Disember lalu, Yahaya meminta Faridah hadir ke mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya.
Terdahulu, Istana Pahang menafikan sebarang Istiadat Perkahwinan Diraja melibatkan Tengku Mahkota Pahang dengan mana-mana individu pada April 2025.
Hantaran dimuat naik Faridah Daud di Instagram mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang ramai sebelum tindakan siasatan dijalankan.
Menurut hantaran di laman sosial Instagram berkenaan, wanita tersebut mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada April dan secara fitnah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, Istana Pahang beberapa kali mengesan hantaran fitnah dimuat naik individu sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

