Penunggang motosikal patah bahu, rempuh kenderaan milik APM

Tular di media sosial memaparkan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah kenderaan milik APM di Meru, Klang pada Ahad.
Tular di media sosial memaparkan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah kenderaan milik APM di Meru, Klang pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Seorang penunggang motosikal cedera selepas merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Pekan Meru di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Pemangku Superintenden Mohd Rahimi Zainol berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 25 tahun itu dalam perjalanan menuju ke rumah bapanya.

"Siasatan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 8.38 malam itu, kenderaan milik APM terbabit dari arah Puncak Alam menuju ke Shah Alam untuk tugasan menyelamat di kawasan Sri Muda.

"Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan APM yang turut dipasang lampu beacon dan siren amaran itu kemudiannya dilanggar sebuah motosikal di bahagian sisi kiri sebelah belakang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pelanggaran itu mengakibatkan penunggang motosikal terbabit mengalami patah di bahagian bahu sebelah kiri dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

"Kes ini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan dengan tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Surihan Samsudin di talian 013-2082327," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah kenderaan milik APM di Meru, Klang pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!