MyCHAMPION: Komuniti bantu komuniti untuk kekal sihat

Program pembangunan keupayaan Ejen Kesihatan Komuniti Malaysia (MyCHAMPION) merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berteraskan penglibatan komuniti sebagai tonggak utama dalam usaha meningkatkan kesejahteraan kesihatan masyarakat.
MYCHAMPION adalah satu wadah himpunan sukarelawan daripada pelbagai kementerian dan organisasi, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi swasta supaya dapat dilatih dan diperkasa dalam aspek kesihatan merangkumi budaya hidup sihat, amalan norma baharu, kawalan kesihatan kendiri, pengambilan vaksin dan penjagaan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan.
Bersandarkan pendekatan kesihatan itu, ia dijadikan keutamaan dalam semua rancangan pembangunan kerajaan atau agensi (Health in All Policy) melalui pendekatan seluruh negara (Whole of Nation), yang menjadi prinsip asas Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).
Justeru itu, MyCHAMPION berperanan bukan sahaja menyokong pelaksanaannya tetapi memainkan peranan secara proaktif sebagai jurucakap dan pemudah cara di peringkat komuniti.
Dalam konteks berkenaan, kerangka pelaksanaan MyCHAMPION mengambil kira pengalaman negara berdepan situasi pandemik pada 2020 dan 2021 iaitu keperluan untuk memobilisasikan tenaga ejen komuniti sedia ada di lapangan dalam kalangan komuniti untuk menyokong usaha menangani krisis pandemik COVID-19.
Program berkenaan bertujuan memperkasakan komuniti dengan ilmu dan kepimpinan untuk menjadi rakan strategik kepada KKM dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan, selain menangani pelbagai isu kesihatan awam.

Melalui MyCHAMPION, individu dilatih menjadi sukarelawan yang berfungsi sebagai agen perubahan di peringkat akar umbi.
Mereka memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kesihatan seperti pencegahan penyakit, promosi vaksinasi, dan penjagaan kesihatan mental.
Sukarelawan ini juga terlibat secara aktif dalam aktiviti kesihatan komuniti, termasuk penyuluhan dan kempen kesihatan yang memberi impak positif terhadap gaya hidup masyarakat.
Sejak diperkenalkan, MyCHAMPION telah melatih lebih 10,000 sukarelawan di seluruh negara yang membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit tidak berjangkit (NCD) serta mendorong amalan gaya hidup sihat.
Kejayaan program itu dapat dilihat semasa pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia termasuk Malaysia, apabila sukarelawan MyCHAMPION memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat tepat dan menyokong usaha kerajaan membendung penularan virus.
Data menunjukkan bahawa penglibatan komuniti melalui inisiatif tersebut mampu meningkatkan kepatuhan terhadap amalan kesihatan sehingga 80 peratus, sekaligus membuktikan keberkesanannya dalam mengubah budaya kesihatan rakyat.
Bagi memperluaskan capaian, KKM terus memperkukuh program MyCHAMPION dengan pelbagai aktiviti latihan dan kolaborasi.

Sasaran utamanya adalah untuk melibatkan lebih ramai anggota komuniti, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Ia bagi memastikan akses kepada maklumat kesihatan yang berkualiti tidak terhad kepada kawasan bandar sahaja. Dengan pendekatan ini, MyCHAMPION diharap menjadi pemangkin kepada transformasi sistem kesihatan negara.
MyCHAMPION bukan sekadar program kesihatan tetapi satu platform yang memperkukuh hubungan antara kerajaan dan komuniti demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Untuk maklumat lanjut atau menyertai program ini, anda boleh melayari https://infosihat.moh.gov.my/mychampion/.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
