Misi UNRWA perlu diteruskan sehingga konflik Timur Tengah selesai - Rusia

MOSCOW - Moscow menegaskan bahawa misi Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) perlu diteruskan sehingga penyelesaian damai muktamad dicapai dalam konflik Palestin-Israel, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Kementerian Luar Rusia berhubung larangan terhadap aktiviti UNRWA.
"Moscow berpendirian bahawa misi UNRWA, yang selama beberapa dekad telah menyokong rakyat Palestin di wilayah yang diduduki dan negara jiran serta menjamin hak asas pelarian untuk kembali, harus diteruskan sehingga penyelesaian damai muktamad bagi konflik Palestin-Israel dicapai,” menurut kementerian itu.
Kementerian Luar Rusia turut menyatakan bahawa keputusan Israel untuk melarang aktiviti UNRWA amat mengecewakan.
"Tindakan sewenang-wenang seperti ini, yang membawa kesan kemanusiaan paling serius terhadap rakyat Palestin, amat mengecewakan dan wajar dikecam,” menurut kenyataan itu. - Bernama-TASS
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
