Kempen wakaf Quran Afrika bantu masyarakat Muslim mengaji

Kanak-kanak Islam di Afrika terpaksa mengunakan pelepah kayu untuk menulis dan membaca ayat suci al-Quran.
Kanak-kanak Islam di Afrika terpaksa mengunakan pelepah kayu untuk menulis dan membaca ayat suci al-Quran.
A
A
A

SEREMBAN - Rumah Ngaji Negeri Sembilan bersama Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Daerah Seremban dan RSG Medicare (Sahabat Quran Korporat), mengambil inisiatif menggerakkan Kempen Wakaf Quran Afrika-Dunia Membaca Quran (WQA-DMQ), demi memberi peluang kepada umat Islam di Afrika membaca al-Quran dengan sempurna.

Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, idea itu tercetus ketika kumpulan mereka melakukan kunjungan di Barla, Isparta Turki yang menyaksikan video masyarakat Muslim di Afrika yang sangat daif untuk belajar mengaji al-Quran.

Katanya, masyarakat Islam di sana, terutamanya kanak-kanak terpaksa menggunakan pelepah kayu untuk menulis dan kemudiannya membaca al-Quran yang ditulis menggunakan tulisan tangan orang dewasa yang menghafaz ayat suci berkenaan.

"Apabila nak mengaji, mereka terpaksa menulis ayat-ayat suci ini di atas papan dan pelepah kayu. Walau pun begitu, mereka tetap cekal dan istiqomah hingga kebanyakan daripada anak-anak ini dapat menghafal al-Quran. Kita melihat mereka sangat mendambakan al-Quran.

"Bayangkan, kanak-kanak Islam serta golongan Muslim di kebanyakan kawasan di Afrika ini, bukan kata untuk mengupah orang, untuk membeli buku ataupun alat belajar lain pun mereka tidak mampu.

"Malah, mereka terpaksa membaca surah al-Quran yang mereka tulis sendiri di atas papan dan pelepah kayu dan dalam masa yang sama mengaji dalam keadaan tempat yang amat daif," katanya kepada Sinar Harian.

Masyarakat Islam di Afrika terpaksa mengunakan pelepah kayu untuk menulis ayat suci al-Quran.
Masyarakat Islam di Afrika terpaksa mengunakan pelepah kayu untuk menulis ayat suci al-Quran.

Katanya, demi belajar al-Quran, mereka begitu bersemangat dan bermotivasi walaupun hanya menggunakan peralatan papan dan pelepah kayu sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Kami amat tersentuh hati dengan semangat serta keikhlasan mereka terutamanya kanak-kanak yang tetap berusaha bersungguh-sungguh untuk membaca dan mendalami al-Quran walaupun berdepan dengan segala macam dugaan dan kesusahan serta sentiasa berada dalam keadaan yang tidak selamat.

"Mengambil semangat ini, marilah bersama kita mengambil iktibar dan berazam bukan sahaja fasih membaca dan memahami Al-Quran tetapi dengan roh serta iltizam yang tinggi, mengamalkan ajaran Al-Quran secara menyeluruh sebagai acuan kehidupan, sesuai dengan tagline RumahNgaji, 'Baca, Faham, Amal'," katanya.

Beliau berkata, projek berkenaan juga turut mendapat kerjasama daripada Hayrat Yardim Aid Turkey dan Pemikiran Nur Malaysia dalam melaksanakan program tersebut.

Terdahulu, pada 31 Disember 2019, sempena 'Perjuangan Titisan Airmata - Majlis Amal Mahabbah Palestin, Kempen Wakaf Quran Afrika – Dunia Membaca Quran' ini telah dilancarkan oleh Tunku Puan Sri Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman merangkap Ketua Wanita Perkim Kebangsaan yang telah berjaya melakukan kutipan wakaf hampir RM10,000.

Kempen WQA-DMQ ini akan terus digerakkan hingga mencapai sasaran satu juta al-Quran.

Bagi yang ingin membantu Kempen Projek Wakaf Quran Afrika–Dunia Membaca Quran ini, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Wanita Perkim Cawangan Daerah Seremban bernombor 05012010070045 (Bank Islam Malaysia Berhad) atau menghubungi Gharizah Hashim di talian 017-678 2144.