URB, MPV perkuat rondaan cegah jenayah Tahun Baharu Cina - Bukit Aman

KUALA LUMPUR - Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda polis (MPV) telah digerakkan secara optimum di seluruh kontinjen untuk melaksanakan rondaan pencegahan jenayah sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata, rondaan turut dipergiatkan ke atas kediaman yang penghuninya membuat pemakluman di balai polis atau secara dalam talian melalui Volunteer Smart Phone (VSP).
"Sebelum orang ramai memulakan perjalanan ke destinasi masing-masing dinasihatkan melaporkan pergerakan ke balai polis berhampiran atau melalui VSP iaitu tarikh mula pergerakan dan tarikh dijangka pulang," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Wan Hassan berkata, orang ramai juga perlu memaklumkan pergerakan tersebut kepada jiran.
"Selain itu, pastikan semua pintu dan tingkap rumah dikunci dengan sempurna serta kunci tidak ditinggalkan atau disimpan di tempat yang tidak selamat.
"Bagi mengelakkan berlaku kebakaran, pastikan dapur gas ditutup dengan sempurna dan kepala gas dicabut," katanya.
Menurutnya, polis menjangkakan orang ramai akan mengambil peluang untuk pulang ke kampung atau pergi bercuti kerana pada ketika ini musim cuti sekolah.
"Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, kita melaksanakan Op Selamat bagi memastikan orang ramai selamat dalam perjalanan pergi dan balik serta keselamatan harta benda yang ditinggalkan sepanjang tempoh cuti perayaan.
"Sempena dengan perayaan ini, cuti bagi anggota peronda MPV dan URB dibekukan sehingga Op Selamat tamat, cuti dibenarkan kepada anggota yang mempunyai urusan kecemasan sahaja," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!