[VIDEO] Statistik jenayah indeks di Melaka meningkat - Polis
MELAKA - Statistik jenayah indeks di Melaka meningkat sebanyak 16.05 peratus iaitu sejumlah 1,692 kes sepanjang tahun 2024 berbanding tempoh sama pada tahun 2023 dengan 1,458 kes.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, daripada angka itu jenayah komersil merekodkan kerugian tertinggi iaitu RM79,268,409 berbanding RM48,422,567 dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, berdasarkan jumlah itu juga kes tipu menjadi penyumbang terbesar kepada kerugian yang dialami oleh mangsa iaitu RM73.3 juta atau bersamaan 64.5 peratus.
"Ini diikuti dengan kes pecah amanah jenayah sebanyak hampir RM5 juta atau bersamaan 17.5 peratus.
"Manakala jumlah tangkapan bagi kes itu turut menunjukkan peningkatan daripada 1,100 pada tahun 2023 kepada 1,179 pada tahun 2024," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini pada Selasa.
Jelas beliau, dalam tempoh itu juga polis Melaka berjaya menyelesaikan sebanyak 1,082 kes atau 63.95 peratus.
Ujar beliau, meskipun berlaku peningkatan kes jenayah, namun Kontinjen Melaka berada pada kedudukan ketiga sebagai penyumbang kepada kes indeks iaitu hanya 2.90 peratus berbanding 14 buah kontinjen lain di negara ini.

Katanya, dengan peningkatan yang kecil ini serta peratusan penyelesaian kes, jelas menunjukkan Melaka masih berada dalam keadaan selamat dan terkawal.
"Selain itu kes salah laku melibatkan pegawai polis dan pegawai awam polis pada tahun lalu membabitkan seramai 42 orang.
"Malah 56 kertas enkuiri polis melibatkan 56 orang pegawai polis dan pegawai awam telah dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard(JIPS)," katanya lagi.
Tambahnya, daripada jumlah itu juga 19 kertas siasatan tatatertib melibatkan 19 pegawai polis dan pegawai awam serta 22 kertas enkuiri polis melibatkan 22 orang masih dalam siasatan.
Terdahulu, 41 warga PDRM Melaka terdiri daripada pegawai kanan, pegawai rendah serta pegawai awam dari semua jabatan menerima sijil penghargaan di atas kecemerlangan.
Manakala lima pegawai rendah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan IPD Jasin turut menerima surat penghargaan tolak rasuah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
