KPDN Sabah nafi dakwaan harga ayam mahal

KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah mengesahkan hasil pemantauan dan laporan berhubung isu harga ayam didakwa mahal di negeri ini adalah tidak seperti yang dinyatakan oleh sesetengah pihak.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, peranan kementerian itu adalah membuat pemantauan harga setiap hari dan laporan telahpun dikeluarkan berhubung dakwaan tersebut.
"Laporan telah dikeluarkan bahawa ia tidak seperti mana yang dinyatakan. Jadi sebab itu kami mohon kepada pengguna dapatkan maklumat yang sahih.
"Elakkan daripada menerima sebarang khabar angin tanpa bukti atau pengesahan daripada pihak KPDN sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan pemantauan harga KPDN di sebuah pasar raya di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung harga ayam didakwa mahal dan isu tersebut terus dimainkan dijadikan bahan politik pihak tertentu.
Ditanya mengenai pemantauan yang dijalankan, KPDN Sabah mendapati barang keperluan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina kali ini adalah mencukupi untuk kegunaan pengguna.
"Seperti yang kita sedia maklum musim perayaan kali ini serentak dengan musim cuti sekolah dan peniaga memaklumkan bekalan mencukupi dan pengguna tidak perlu risau.
"Pengguna diminta berbelanja dengan bijak dan jika didapati ada perlanggaran maka dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat atau aduan melalui saluran yang sah," katanya.
Bagaimanapun, sejak Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Tahun Baharu Cina dilancarkan pada 25 Januari lalu, pihak KPDN mendapati keadaan terkawal.
"Cuma ada beberapa mungkin melibatkan dari segi teguran dan juga peringatan yang melibatkan tanda harga.
"Namun dari segi pematuhan setakat ini peniaga mematuhi apa yang telah dikuatkuasakan," katanya.
Untuk rekod, sebanyak 12 barang disenaraikan sebagai harga maksimum dan terkawal yang dikuatkuasakan sehingga 2 Februari depan bagi kawasan pantai barat Sabah.
Barang yang disenaraikan adalah ikan bawal putih, udang putih besar, bawang putih, kubis bulat import, lobak merah, lobak putih import, ubi kentang import, halia tua, kepak ayam, khinzir hidup, daging khinzir bahagian perut dan daging khinzir bahagian daging dan lemak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

