PH pegang janji peralihan kuasa PM

Anwar, Mahathir
Anwar, Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada keperluan untuk Pakatan Harapan (PH) membawa usul menukar atau menyokong Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, ini kerana gabungan parti itu berpegang kepada perjanjian peralihan kuasa yang dimeterai Majlis Presiden PH.

Menurutnya, kedudukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ditentukan oleh PH susulan memiliki kuasa majoriti di Parlimen, bukan ditentukan oleh usul percaya dibawa Pas.

"Pas mahupun UMNO selaku parti pembangkang sekadar mahu memecahbelahkan PH dengan membawa usul percaya bagi mengekalkan Dr Mahathir sehingga tamat penggal.

“Pembangkang mahu bawa usul itu, ia tidak relevan. Terpulang kepada parti kerajaan mahu tukar atau tidak. Dalam konteks PH, kita sudah ada perjanjian bahawa Perdana Menteri kelapan diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, cuma masanya tidak disebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat penggunaan teknologi mikrob dalam tanaman padi di sebuah hotel di sini semalam.

 Phahrolrazi
Phahrolrazi

Phahrolrazi berkata, parti kerajaan tidak perlu membawa sebarang usul kerana perkara itu dipersetujui Majlis Presiden PH.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, PH juga tidak akan ingkar persetujuan yang dibuat sebelum ini hanya kerana usul Pas.

“Pembangkang tak perlu sibuk mahu mengubah perjanjian PH, jika bukan sebab mahu pecahbelahkan PH, mereka tak akan buat usul terbabit, bukan matlamat untuk sokong Dr Mahathir,” katanya.

Mengulas sama ada Pas sengaja membawa usul berkenaan bagi melihat sama ada sokongan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Amanah memihak kepada Dr Mahathir untuk terus kekal sebagai perdana menteri, beliau berkata, isu itu tidak berbangkit.

“Pembangkang biasanya bawa usul tak percaya, sekarang Pas mahu bawa usul percaya dan tak pernah berlaku, sebab itu usul itu tidak perlu dibawa pun,” katanya.

Phahrolrazi berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim agar parti kerajaan PH membawa usul menukar Perdana Menteri di Dewan Rakyat sekiranya tidak bersetuju dengan usul dibawa Pas yang mahu mengekalkan Dr Mahathir sehingga tamat penggal.

Menurutnya, alternatif lain termasuk membawa undi percaya terhadap kepimpinan Dr Mahathir sehingga Mei ini namun ia harus dilakukan di Dewan Rakyat.