Maut ketika tunda motosikal rosak

Seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas menunda sebuah motosikal dan berlaku kemalangan di Jalan Masai-Kong Kong, Pasir Gudang.- Foto IPD JBS
Seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas menunda sebuah motosikal dan berlaku kemalangan di Jalan Masai-Kong Kong, Pasir Gudang.- Foto IPD JBS
A
A
A

PASIR GUDANG - Tindakan dua lelaki menunda motosikal rosak bertukar tragedi apabila seorang daripadanya maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Masai-Kong Kong di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pada jam 10.45 pagi itu berlaku melibatkan motosikal jenis Yamaha 135 LC dan Honda Wave yang mengalami kerosakan.

"Kemalangan dipercayai berlaku semasa penunggang Honda Wave ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun mengalami kerosakan dan ditunda dari belakang dengan cara menolak dengan kaki kanan oleh seorang warga tempatan berusia 52 tahun yang menunggang Yamaha 135 LC daripada Masai ke Kong Kong.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kedua-duanya telah hilang kawalan lalu terbabas di bahu kiri jalan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, akibat insiden itu, penunggang Honda Wave telah terhantuk pada tiang elektrik yang berada di bahu kiri jalan dan penunggang Yamaha 135 LC terjatuh di tepi bahu jalan.

"Penunggang Honda Wave mengalami parah di kepala manakala penunggang Yamaha 135 LC pula cedera ringan.

"Kedua-dua mangsa dibawa dengan ambulan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru sebelum penunggang Honda Wave disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 3 petang," ujarnya.

Katanya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kematian.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya, sebarang maklumat daripada saksi boleh disalurkan kepada pihak polis menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!