Tiada lagi alasan culas bayar gaji pemain

Izham
Izham
A
A
A

SETIAP pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 diharapkan supaya tidak lagi culas dalam membayar tunggakan gaji pemain selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengagihkan hak wang penyiaran dan geran tahunan kepada semua pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail berkata, tiada lagi alasan pasukan menghadapi masalah tunggakan gaji selepas agihan wang tersebut diperolehi nanti.

“Kebanyakan pasukan yang menghadapi masalah tunggakan pembayaran gaji pemain ini selalunya memberikan alasan belum menerima wang geran atau wang hak penyiaran daripada MFL.

“Apabila beberapa penaja besar ini sudah sah menaja Liga-M musim ini, secara tidak langsung semua pasukan sudah tentu akan dapat wang geran atau wang hak penyiaran itu.

“Jadi, apa lagi alasan yang boleh diberikan pasukan bermasalah ini untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain?” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, MFL memperoleh suntikan semangat menjelang saingan Liga-M yang akan disingkap secara rasmi 28 Februari ini apabila Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Kumpulan CIMB bersetuju untuk tampil sebagai penaja.

Dalam pada itu, beliau juga melihat kesudian syarikat besar tersebut menaja Liga-M menjadi petanda positif kepada kebangkitan sukan bola sepak di negara ini.

Malah, katanya, kemasukan penaja mega ini akan membantu pasukan meringankan kos untuk menghadapi saingan liga.

Artikel Berkaitan:

“Ia akan menaikkan lagi prestij dan nilai komersial liga apabila badan korporat terbesar di Malaysia menjadi penaja.

“Dalam masa sama, ia boleh membantu pasukan untuk mencari penaja dalam kalangan badan korporat,” katanya.