DAP sokong perhimpunan antirasuah - Kor Ming

Kor Ming (duduk, tengah) dalam sidang akhbar pada Sabtu.
Kor Ming (duduk, tengah) dalam sidang akhbar pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - DAP memberi sokongan penuh terhadap perhimpunan antirasuah yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur, petang ini.

Naib Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, matlamat perhimpunan tersebut adalah sejajar dengan prinsip kerajaan yang menolak sebarang unsur dan perlakuan rasuah.

"Semangat anti rasuah memang perjuangan kerajaan Madani. Oleh kerana itu, nak berhimpun atau nak buat demonstrasi, silalah.

"Perdana Menteri sudah buat pengumuman (tidak halang perhimpunan) semalam (Jumaat) dan saya ikuti Menteri Dalam Negeri mengarahkan polis untuk mempermudahkan perhimpunan.

"Jadi marilah kita sama-sama sokong kerajaan lawan rasuah habis-habisan," katanya kepada pemberita dalam program Sentuhan Kejayaan Bahagian Kampung Baru Cina (BKBC) di Kampung Baru Rimba Panjang, di sini pada Sabtu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, tiada masalah dengan penganjuran perhimpunan seumpama itu asalkan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, perkara itu termasuklah mendapatkan kebenaran polis dan pihak berkuasa negeri, serta memastikan perhimpunan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang boleh mengancam keselamatan awam.

"Dulu saya pun atas jalan, saya pun banyak kali mohon (kebenaran perhimpunan). Kita bagi notis 10 hari, kemudian buatlah, kena pastikan perhimpunan itu perhimpunan aman.

Artikel Berkaitan:

"Janganlah sebab boleh buat perhimpunan, ada pula yang bawa molotov (bom petrol), senapang, pistol dan parang, itu tak boleh," katanya.

Media sebelum ini melaporkan perhimpunan bertemakan 'Rakyat Benci Rasuah' dijadualkan berlangsung pada Sabtu di hadapan kompleks beli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Perhimpunan tersebut dikatakan susulan kepada perhimpunan Ambang Tahun Baharu yang diadakan di Sabah baru-baru ini yang dianjurkan oleh golongan pelajar untuk membantah ahli politik negeri yang didakwa terbabit dalam skandal rasuah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!