KDN tambah kuarters anggota polis

JELI - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menambah bilangan kuarters kepada anggota bawahan polis bagi memastikan kebajikan mereka terus dibela dengan sebaik mungkin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut telah disampaikan kepada kerajaan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
"Dalam kehidupan sekarang mana ada lagi rumah sewa RM250. Jadi kalau kuarters tidak cukup mereka terpaksa sewa.
"Oleh itu, KDN akan memberikan keutamaan ini dalam menjaga kebajikan anggota," katanya semasa sidang akhbar pada Jumaat.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Projek Membina Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir Ibrahim Esa.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berharap IPD Jeli yang baharu ini mampu memberikan suasana kondusif kepada seluruh anggota.
Beliau percaya kemudahan itu mampu meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan anggota polis dalam menjaga keselamatan awam dan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

