Gas ammonia bocor: Empat pekerja kilang melecur, 3 sesak nafas

SHAH ALAM - Empat lelaki melecur dan tiga wanita mengalami sesak nafas akibat terdedah kepada gas ammonia selepas berlaku kebocoran injap saluran gas di sebuah kilang di kawasan perindustrian Pulau Indah, Klang dekat sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mangsa yang melecur dibawa ke hospital oleh pengurusan kilang sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.17 tengah hari dan menggerakkan 16 anggota berserta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Fire Response Vehicle (FRV) serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati terdapat kebocoran pada injap saluran gas ammonia dan tiga pekerja wanita dikesan mengalami sesak nafas," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Ahmad Mukhlis berkata mangsa telah dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut dan masalah kebocoran diselesaikan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) pada 3.10 petang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
