Tipu maklumat sijil kelahiran anak, pemandu van didenda

Seorang pemandu van memalsukan maklumat demi mendapatkan surat beranak untuk bayi lelaki sejak 14 tahun lalu, didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Seorang pemandu van memalsukan maklumat demi mendapatkan surat beranak untuk bayi lelaki sejak 14 tahun lalu, didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Seorang pemandu van memalsukan maklumat demi mendapatkan surat beranak untuk bayi lelaki sejak 14 tahun lalu, didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Lim Tong Leong, 55, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Amirul Asyraf Abd Rasid.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Tong Leong didakwa sengaja mendapatkan sijil kelahiran untuk seorang bayi lelaki, dengan mengandungi maklumat ibu bapa yang tidak teratur dan palsu kepada pendaftaran kelahiran tersebut.

Perbuatan dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Pelabuhan Klang antara jam 8 pagi hingga 5 petang, 8 Mac 2011 lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36 (b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 membawa hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, terdapat keraguan dari segi iras wajah bayi lelaki itu dengan tertuduh.

Hasil siasatan kemudiannya mendapati tertuduh mengaku bayi itu bukan anak kandungnya dan isteri tertuduh juga mengaku tidak pernah melahirkan bayi berkenaan di sebuah klinik, pada 2 Mac 2011.

Selain itu, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) turut mengesahkan bayi itu bukan anak kandung mereka.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Tong Leong tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Saudi Yusof memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira kekerapan kes tersebut telah berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!