Enam pegawai JKDM akan ditukar kes elak bayar cukai vape

Anis Rizana
Anis Rizana
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mengenakan tindakan pertukaran bahagian ke atas enam pegawainya yang terlibat dalam sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai rokok elektronik (vape).

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, enam pegawai tersebut yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Ops Airways akan ditukar ke bahagian lain sehingga siasatan selesai.

Anis Rizana berkata, pihaknya ketika ini sedang mendapatkan pengesahan nama pegawai terlibat daripada pihak SPRM, sebelum proses pertukaran bahagian dilakukan.

Jelasnya, kastam sentiasa bekerjasama dengan semua agensi termasuk SPRM dan tidak akan sesekali berkompromi dengan kesalahan dilakukan oleh petugasnya.

"Nasihat saya, berkhidmat dengan penuh ikhlas, cekap, tangkas dan berintegriti.

"Sebagai agensi pemungut hasil negara, setiap warga kastam bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah ini dengan berintegriti," katanya pada Jumaat.

Tegasnya, semua petugas kastam diingatkan untuk menjauhkan diri daripada perkara yang melanggar undang-undang negara dan tindakan yang boleh mencemarkan nama baik jabatan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan SPRM membongkar sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan rokok elektronik dengan ketirisan dianggarkan mencecah hampir RM8 juta.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan itu dicapai selepas SPRM menahan dua buah lori yang mencurigakan ketika keluar dari Pusat Pemeriksaan Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Hasil pemeriksaan menemukan 32,000 unit rokok elektronik bernilai RM1.9 juta yang tidak diikrar berada dalam lori berkenaan.

Sehubungan itu, serbuan secara besar-besaran dilakukan di dua gudang penyimpanan melibatkan syarikat vape berkenaan.

Seramai enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat ditahan dalam operasi sekitar KLIA dan ibu negara pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!