Pesalah muda terlepas hukuman penjara lima tahun

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis membenarkan rayuan seorang pemuda untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal tiga tahun lalu.
Peguam, Datuk Sharif Mohamed yang mewakili Muhammad Safrul Hizami Azizul Rahman, 25, memaklumkan Hakim, Datuk Rohani Ismail membacakan keputusan itu dalam kamar mahkamah.
Rohani turut memerintahkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM5,000.
Bagaimanapun, hukuman denda RM20,000 dan larangan memandu selama tiga tahun yang dikenakan Mahkamah Majistret terhadap tertuduh dikekalkan.
Menurut Sharif, mahkamah membenarkan rayuan berkenaan memandangkan tertuduh yang kini bekerja sebagai penyelia di sebuah stesen minyak merupakan pesalah muda.
“Mahkamah mengambil kira umurnya dan masa depannya.
"Hakim juga berpendapat hukuman penjara tidak sesuai dan tertuduh perlu diberi peluang lagi,” katanya.
Tambahnya, tertuduh dan keluarganya juga beberapa kali bertemu keluarga mangsa untuk memohon maaf.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta jenis Perodua Kelisa telah memandu kenderaan itu dengan cara mengambil kira tentang segala hal keadaan jalan itu (termasuk jenis, keadaan dan ukuran jalan serta jumlah lalu lintas yang ada atau boleh dijangkakan berada di atas jalan tersebut) adalah merbahaya kepada awam hingga menyebabkan kematian kepada seorang lelaki berusia 24 tahun.
Kesalahan berkenaan dilakukan pada 11 April 2022, jam lebih kurang 7 pagi di Jalan Ujong Pasir, di Seremban.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah Seksyen dan Akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara lima tahun hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000.
Pada Februari tahun lalu, Mahkamah Majistret di sini telah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 serta jika gagal bayar lapan bulan penjara terhadap Muhammad Safrul Hizami selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.
Mahkamah turut menggantung lesen memandunya selama tiga tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!