Penunggang maut rempuh lori rosak tepi jalan

Keadaan motosikal mangsa yang merempuh belakang lori rosak di tepi jalan dalam kejadian di Kilometer 161 Jalan Jerangau-Jabor (selepas ladang Perwira) di sini, malam tadi. FOTO: Ihsan IPD Kemaman.
Keadaan motosikal mangsa yang merempuh belakang lori rosak di tepi jalan dalam kejadian di Kilometer 161 Jalan Jerangau-Jabor (selepas ladang Perwira) di sini, malam tadi. FOTO: Ihsan IPD Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pembantu penjual ikan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori rosak berisi muatan biji besi di tepi jalan di Kilometer 161 Jalan Jerangau-Jabor (selepas ladang Perwira), di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.35 malam, mangsa, Muhamad Aiman Hakimi Ro'zuki, 21, dari Bandar Cheneh Baru, di sini disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha NVX yang ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Jerangau menghala ke Jabor, di sini.

"Tiba di lokasi, mangsa yang menunggang berseorangan merempuh bahagian belakang kanan lori yang diparkir di tepi jalan tanpa pemandunya kerana dipercayai mengalami kerosakan.

"Difahamkan berkemungkinan keadaan di sekitar lokasi yang gelap kerana ketiadaan lampu jalan menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikal ditunggangnya sebelum merempuh belakang kenderaan berat tersebut.

"Akibat rempuhan kuat itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan melulu sehingga menyebabkan kematian.

Artikel Berkaitan: