'Gabungan kakitangan lama, baharu bertugas di kaunter lebih sesuai'

Laporan Sinar Harian berhubung arahan kepada JPA untuk meneliti dan melaksanakan pusingan kerja membabitkan penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan.
Laporan Sinar Harian berhubung arahan kepada JPA untuk meneliti dan melaksanakan pusingan kerja membabitkan penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pusingan kerja penjawat awam yang berkhidmat di kaunter perkhidmatan lebih lima tahun atau ‘orang lama’ perlu diteliti daripada aspek beban tugas dan indeks prestasi utama (KPI).

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Novel Lyndon berkata, apabila ‘orang lama’ ditempatkan di kaunter perkhidmatan, isu yang berbangkit meliputi beban tugas atau KPI pegawai tersebut, sama ada lebih berat atau ringan.

Ujar beliau, pusingan kerja bagi petugas kaunter perkhidmatan yang akan dilaksanakan secara besar-besaran merupakan cadangan baik, namun persoalannya siapa kakitangan yang layak perlu diperincikan secara jelas.

“Apakah justifikasi pemilihan kakitangan yang berkhidmat lebih lima tahun ditempatkan di kaunter perkhidmatan, apakah jenis kriteria yang digunakan untuk memilih mereka ini? Adakah pengalaman, cara berkomunikasi atau apa sebenarnya? Ini perlu diperjelaskan.

“Istilah ‘orang lama’ dalam penjawat awam juga perlu diperjelaskan, sedangkan para pegawai kerajaan yang masuk dalam sistem perkhidmatan awam sudah melalui pelbagai proses tapisan, mengikuti kursus dan telah menjalani pelbagai program agar lebih efisien dan cekap dalam menjalankan apa jua tanggungjawab atau tugas diamanahkan,” katanya pada Selasa.

Novel turut berpendapat bahawa gabungan kakitangan lama dan baharu dirasakan lebih sesuai ditugaskan di kaunter perkhidmatan agensi kerajaan.

“Dengan pengalaman yang ada pada orang lama maka isu yang dibangkitkan atau persoalan yang ditanya oleh pelanggan dapat dijawab dan diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, kakitangan baharu mungkin boleh belajar daripada individu lebih berpengalaman dalam menangani pelbagai isu dibangkitkan di kaunter.

Artikel Berkaitan:

“Pada pandangan saya, kaunter perkhidmatan fungsinya adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan merentasi kumpulan umur.

“Tugas orang lama mencakupi isu dan tugas yang lebih besar dan mencabar, sedangkan secara logiknya dengan pengalaman dan pengetahuan luas yang ada pada mereka, tugasan di kaunter sepatutnya diserahkan kepada orang baharu.

“Meskipun begitu, sama ada lama atau baharu, kakitangan awam yang menjaga kaunter perkhidmatan harus efisien, cekap, berpengetahuan dan mesra pelanggan. Hal ini kerana mereka adalah pembawa imej jabatan tersebut,” jelasnya.

Sebelum ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diarahkan meneliti dan melaksanakan pusingan kerja penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tempoh lima tahun di kaunter perkhidmatan disifatkan terlalu lama dan tidak bersesuaian, justeru pusingan kerja secara besar-besaran dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!